
Nahas Airbus: Penyelamat mula temui mayat
Pegawai syarikat penerbangan Yemenia Air melaporkan penyelamat mula menemui beberapa mayat mangsa pesawat Airbus A310-300 miliknya yang terhempas di Lautan Hindi, awal hari ini.
Ketika kejadian, pesawat milik syarikat penerbangan nasional Yaman itu membawa 153 penumpang, termasuk 66 warga Perancis.
Nahas dipercayai berlaku ketika pesawat melintasi laluan cuaca buruk dari Yaman ke Kepulauan Comoros.
Timbalan Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Yaman, Muhammed Abdul Rahman Abdul Qader berkata, beberapa mayat mangsa nahas ditemui dari bangkai pesawat.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Yaman tidak dapat mengesahkan ada mangsa yang terselamat.
Pihak berkuasa lapangan terbang Paris berkata, ketika kejadian 66 warga Perancis berada dalama pesawat berkenaan.
Pihak berkuasa Yaman pula berkata, ada 142 penumpang dalam pesawat, termasuk tiga bayi dan 11 krew.
Ketika kejadian pesawat dalam pernerbangan dari Sanaa ke Moroni, ibu negara Comoros. - Agensi
-Berita Harian